PETALING JAYA: Seramai 1,482 orang kanak-kanak telah mendaftar prasekolah di 71 buah sekolah Orang Asli setakat 17 Februari lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memperluas pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada agenda utama dalam reformasi pendidikan.
Kata beliau, KPM berjaya menambah 130 kelas prasekolah di seluruh negara setakat 17 Februari lalu.
“Sememangnya prasekolah telah wujud di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman perkampungan.
“Pada masa ini terdapat 98 buah sekolah Orang Asli dan daripada jumlah itu, 71 buah sekolah mempunyai 80 kelas prasekolah,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai cadangan kementerian untuk mewujudkan prasekolah di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli.
Tambah Wong, fokus utama KPM adalah memastikan akses pendidikan dapat disediakan terlebih dahulu sebelum bagi menangani masalah buta huruf dalam kalangan pelajar.
“Berkenaan dengan akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman, pihak KPM dalam beberapa tahun ini juga telah membuat peluasan bagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11).
“Pada tahun ini, K11 telah diperluaskan untuk lima kelas lagi bagi memastikan anak-anak kita dapat menghadiri program dan pembelajaran di prasekolah, sekolah rendah
dan menengah.
“KPM telah mewujudkan 28 buah sekolah K9 dan dua sekolah K11 setakat tahun lepas,” katanya. – UTUSAN