KUALA LUMPUR: Sebanyak 139 perjawatan tetap yang dicadangkan dilihat boleh memperkasakan peranan dan fungsi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) dalam usaha menangani jenayah penipuan dalam talian secara lebih efektif.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, usaha memperkemaskan struktur NSRC kini adalah sedang giat dijalankan.
“Melalui pemerkasaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai operasi NSRC dengan dikawal selia Kementerian Dalam Neger ibagi memastikan tindak balas lebih pantas terhadap kes penipuan dalam talian.
“Langkah tersebut juga membolehkan pengoperasian NSRC dijalankan secara lebih sistematik dengan penambahan perjawatan tetap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Ramli, NSRC yang ditubuhkan pada Oktober 2022 bertindak sebagai pusat tindak balas pantas terhadap kes penipuan dalam talian, termasuk menyekat dana yang dicuri serta memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai.
“Sehingga 31 Disember 2024, pusat itu telah mengendalikan sebanyak 161,863 panggilan berkaitan kes penipuan, selain mengenal pasti 72,523 akaun bank yang disyaki terlibat dalam transaksi mencurigakan melibatkan jumlah keseluruhan RM50.87 juta.
“NSRC dikendalikan secara bersama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Menurutnya, ia turut seiring dengan usaha negara serantau seperti Thailand dan Singapura yang menubuhkan Pusat Anti Penipuan. – UTUSAN