SEREMBAN: Seorang gadis dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat jagaan berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Puteri Nurin Amalin Ahmad Daud, 21, mengekalkan pengakuan bersalah bagi kesemua empat pertuduhan yang dibacakan semula dalam prosiding di dua kamar mahkamah berasingan.
Hakim, Darmafikri Abu Adam dan Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Puteri Nurin Amalin selepas mengambil kira faktor pengakuan bersalah, umur dan laporan sosial yang dikemukakan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 5 September 2024 dan sekiranya gagal membayar denda tertuduh boleh dipenjara 20 bulan.
Tertuduh yang juga pesalah muda turut dikenakan perintah tambahan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Selain itu, mahkamah menetapkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan bagi setiap empat pertuduhan yang berjalan secara berturutan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.
Surita turut mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling oleh pegawai Jabatan Khidmat Masyarakat bagi membantunya mengawal kemarahan.
Berdasarkan fakta kes, Puteri Nurin Amalin bertindak menekap sudu yang dipanaskan pada lengan empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun dengan terdapat kesan melecur sebagai hukuman kerana mengambil makanan ringan yang tidak dibenarkan.
Dalam prosiding di mahkamah, Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Azlina Mohd. Salleh telah mengemukakan laporan sosial tertuduh yang mana tertuduh anak bongsu daripada enam beradik.
Berdasarkan laporan sosial, tertuduh dari keluarga berpendapatan rendah dengan bapanya bercucuk tanam dan ibunya menjual kuih-muih bagi menyara hidup.
Terdahulu, peguam Najib Zakaria yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya tiada niat mencederakan mangsa sebaliknya bagi tujuan mendidik mereka yang mengambil makanan ringan tersebut.
Menurut Najib, laporan perubatan menunjukkan mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Tertuduh telah menyesal dengan perbuatannya dan berharap mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh ingin melanjutkan pendidikan secara vokasional dalam bidang bakeri atau jahitan selepas menjalani hukuman,” katanya.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron memohon hukuman penjara dan denda yang sepadan dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam.
“Tertuduh sebagai orang yang diamanahkan menjaga kanak-kanak (mangsa) ketika kejadian telah menekap dengan sudu yang dipanaskan dengan api pada lengan mereka sebagai hukuman memakan makanan ringan.
“Perbuatan itu adalah tindakan berlebihan dan melampau. Tertuduh sepatutnya memahami sifat anak-anak yang mudah lapar dan suka makan,” katanya.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.
Kesalahan itu dilakukan sekitar bulan Ogos tahun lalu di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban di sini.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Pendakwaan turut diwakli Intan Noorashikin Nasarudin dan Norazihah Asmuni. – UTUSAN