PETALING JAYA: Perdana Menteri mengakui terdapat segelintir pihak sudah mula tidak sabar dengan perkembangan reformasi yang perlahan.
Anwar Ibrahim berkata, reformasi di bawah kerajaan Madani telah pun bermula.
Namun kata beliau, reformasi tersebut tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa kerana sejarah membuktikan bahawa revolusi yang tergesa-gesa sering gagal.
“Dalam usaha reformasi yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Harapan, saya sedar ada yang kurang sabar dengan perkembangan yang perlahan.
“Namun, saya tuntut teman-teman agar menggunakan kebijaksanaan. Sejarah membuktikan bahawa revolusi yang tergesa-gesa sering gagal.
“Namun, ini bukan alasan untuk menyekat perubahan. Hakikatnya, reformasi di bawah kerajaan Madani telah pun bermula,” katanya dalam satu hantara di Facebook miliknya hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia tidak boleh mengikut rentak hipokrit pembangkang jika mahu mengangkat martabat rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Madani berdepan cabaran besar dalam mengemudi negara, khususnya ketika pembangkang giat memperalatkan isu kaum dan agama secara berlebihan.
“Mereka bukan mengkritik dasar atau membawa cadangan baharu, sebaliknya terus menakut-nakutkan orang Melayu terhadap masyarakat Cina, khususnya DAP.
“Namun, saya enggan bersikap defensif dan apologetik. Di hadapan teman-teman DAP, saya tegaskan bahawa parti ini punya sejarah konsisten dalam menentang rasuah, memperjuangkan hak golongan miskin serta menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan politik meskipun ditekan pemerintah dengan undang-undang zalim,” katanya. – UTUSAN