10 rakyat Malaysia masih terperangkap di Taicang, Yangon - MHO

10 rakyat Malaysia masih terperangkap di Taicang, Yangon – MHO

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun operasi menyelamat telah dijalankan di beberapa kawasan, sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia masih terperangkap di pusat penipuan dalam talian di Taicang, Yangon, Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya masih menunggu tindakan lanjut daripada kerajaan Thailand bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih berada di kawasan tersebut.

“Kami menghargai usaha kerajaan Thailand dan pasukan keselamatan seperti Pasukan Pengawal Sempadan (BGF) serta Tentera Buddha Karen (KBA) yang telah membantu menghentikan operasi sindiket di Myawaddy dan Shwe Kokko.

“Namun, kami kecewa kerana masih belum ada tindakan di Taicang, Yangon, yang merupakan pusat operasi terbesar melibatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian susulan perkembangan terkini di mana kerajaan Thailand telah mengambil langkah drastik dengan menghentikan bekalan elektrik dan bahan api ke pusat penipuan di Myawaddy, sekali gus menyebabkan operasi di sana lumpuh.

Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut belum dilaksanakan di Taicang, menyebabkan mangsa di sana terus menjadi buruan sindiket.

“Kami memahami bahawa operasi ini mengambil masa kerana ia membabitkan ribuan mangsa yang perlu dibawa pulang secara berperingkat.

“Namun, kami tidak akan berdiam diri sekiranya masih ada rakyat Malaysia yang sengaja ditinggalkan atau tidak diberi perhatian sewajarnya,” tegasnya.

Menurutnya, pihaknya akan terus memberi tekanan kepada Kedutaan Thailand di Malaysia bagi memastikan kerajaan negara jiran itu mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan pusat penipuan tersebut.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seramai 26 rakyat Malaysia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas terpedaya dengan sindiket pekerjaan di Myanmar dijangka tiba di negara ini esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu terbabit terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun dan dijangka tiba kira-kira pukul 2.30 petang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam.

Katanya, kepulangan mereka adalah hasil kerjasama antara Kedutaan Malaysia di Bangkok dan kerajaan Thailand bagi menjalankan proses repatriasi melibatkan 26 mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya