RANTAU PANJANG: Pembinaan zon bebas cukai baharu berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, lokasi baharu itu dilihat lebih strategik berbanding lokasi sedia ada yang sering berdepan banjir.
“Perkara ini sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan pertemuan dengan semua pemilik tanah dilakukan dalam masa terdekat. Ini merupakan langkah permulaan.
“Bagaimanapun, ia mengambil masa kerana memerlukan proses berkaitan terlebih dahulu yang mengikut prosedur. Lokasi baharu ini dikenali Zon Ekonomi Baru,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Siti Zailah berkata, apabila siap kelak, zon bebas cukai yang lama dijadikan sebagai bandar sempadan untuk pelancongan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak RM19 juta diperuntukkan kerajaan termasuk menaik taraf infrastruktur Bazar Siti Fatimah, menara tinjau dan pengindahan bandar Rantau Panjang dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk Bazar Siti Fatimah termasuk kemudahan tangga, tandas awam dan tempat permainan kanak-kana bermula tahun ini. – UTUSAN