PETALING JAYA: Guru kelas Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa anak muridnya itu merupakan seorang kanak-kanak autisme yang pasif dan boleh mendengar arahan dengan mudah serta tidak mempunyai banyak kerenah.
Saksi pendakwaan kesembilan, guru prasekolah kelas pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, berkata, ketika berada di sekolah, Zayn Rayyan merupakan antara murid yang senang diuruskan malah dia juga tidak pernah menyakiti rakan sekelasnya.
Tambahnya, kanak-kanak berkenaan tidak pernah menunjukkan tingkah laku yang tidak terlalu aktif dan sentiasa patuh terhadap arahan yang diberikan oleh guru.
“Tak banyak kerenah, dia autisme yang pasif maksudnya tidak begitu aktif. Dia juga boleh mendengar arahan mudah jika kita berikan arahan kepada dia.
“Contoh arahan itu, Zayn pergi pakai kasut atau ambil beg untuk pulang. Zayn juga tidak pernah menyakiti kawan-kawan dalam kelas serta senang diurus ketika di sekolah,” jawab Siti Aminah Nor.
Selain itu, Siti Aminah Nor turut memaklumkan bahawa sepanjang Zayn bersekolah, dia tidak pernah berkelakuan seperti murid autisme lain.
Katanya, kanak-kanak itu juga tidak akan melakukan sesuatu tanpa mendapatkan keizinan daripada guru kelas terlebih dahulu.
“Dalam kelas, Zayn akan duduk di satu sudut dengan diam sehingga saya memberi arahan. Jika dia mahukan sesuatu, dia tidak akan mengambilnya sendiri tetapi akan menarik tangan saya dan bawa ke tempat itu.
“Contohnya, jika dia mahu makan, dia tidak akan terus mengambil makanan tersebut, sebaliknya dia akan memegang tangan saya dan membawa saya ke arah makanan itu,” jelasnya.
Tambah Siti Aminah, tingkah laku itu berlaku kerana Zayn tidak dapat berkomunikasi secara lisan dan bergantung kepada komunikasi bukan lisan (non-verbal) untuk menyampaikan kehendaknya.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.
Bagi prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN