PETALING JAYA: “Saya bersyukur dengan ujian ini mungkin cara Allah menghapuskan dosa-dosa saya.“
Demikian kata pelakon Zara Zya yang reda dirinya kini diuji dengan empat penyakit kronik bahkan kerap berulang-alik ke hospital demi menjalani rawatan dan fisioterapi.
Zara atau nama lengkapnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, bagaimanapun bersyukur kesihatannya kini semakin pulih.
“Saya masih keluar masuk wad sejak tahun lepas, bermula sekitar Jun. Sebelum ini, saya jalani pembedahan membuang ketumbuhan pada buah pinggang kiri dan ovari. Saya juga ada masalah tulang belakang, leher serta artritis.
“Semua masalah ini membuatkan saya tak boleh berdiri atau duduk terlalu lama. Alhamdulillah, selepas rawatan dan fisioterapi yang perlu diteruskan setiap bulan, keadaan saya bertambah baik.
“Cuma untuk penggambaran yang memerlukan tenaga berlebihan atau babak lasak, saya kena berbincang dahulu dengan produser atau penulis skrip. Kalau mereka setuju, barulah saya teruskan,” katanya.
Kekal tabah, pelakon drama bersiri Dia Imamku tersebut positif menyifatkan ujian penyakit yang menimpanya itu sebagai jalan untuk dirinya lebih dekat dengan Sang Pencipta.
“Mahu tidak mahu, saya perlu hadap sahaja. Tapi, Allah beri saya kekuatan dan semangat. Saya anggap diri saya insan terpilih untuk lalui dugaan ini. Walaupun sukar, hikmahnya saya jadi lebih dekat dengan Tuhan,” jelasnya.
Zara berkata demikian ketika ditemui di majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2025, di sini, semalam.
Pada Mei tahun lalu, Zara telah menjalani pembedahan membuang cyst dan fibroid serta mengalami masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Namun, pelakon itu sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di bahagian kesan pembedahan, pada Julai tahun sama.