Zambry tidak lupakan Pangkor walaupun bukan wakil rakyat - Utusan Malaysia

Zambry tidak lupakan Pangkor walaupun bukan wakil rakyat

ZAMBRY Abdul Kadir merasmikan Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Walaupun dua kali kalah dalam pilihan raya umum (PRU) di Parlimen Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ingin terus berbakti di kawasan tersebut.

Beliau merupakan anak jati Pulau Pangkor yang berada dalam Parlimen Lumut, dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor dari 2004 hingga 2022, termasuk sebagai Menteri Besar Perak dari 2009 hingga 2018.

“Walaupun sudah tidak menjadi wakil rakyat tetapi oleh kerana saya adalah anak Pangkor, tentunya saya akan pulang dari masa ke semasa. Rakyat Pangkor akan terus memohon bantuan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis peluncuran Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP), Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor di Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan menjemput Zambry sebagai perasmi selaku Menteri Pendidikan Tinggi.

Semasa PRU 2018, Zambry tewas di Parlimen Lumut kepada wakil parti Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan kecundang buat kali kedua semasa PRU 2022 kepada calon Bersatu, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.

Zambry dilantik sebagai Menteri kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ada pihak yang mempertikaikan mengapa beliau masih diberikan jawatan walaupun kalah selain ada yang tertanya mengapa beliau masih pulang ke kawasan Parlimen Lumut dan Pangkor setelah ditolak oleh pengundi.

“Kita merancang, tuhan pun merancang. Saya diberi tanggungjawab dalam Kabinet. Apapun paling mustahak adalah kita memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Zambry melihat program kelulut itu penting untuk menambahkan pendapatan rakyat di Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya tertumpu kepada sektor pelancongan.

Beliau berkata, program antara universiti dan penduduk setempat akan diteruskan di seluruh negara agar kepakaran warga akademik diperturunkan kepada rakyat bawahan dan bukan sekadar berada di universiti.

Zambry pada permulaan agak keberatan memandangkan program madu kelulut itu dibuat di kawasan lamanya, namun akhirnya menerima rancangan oleh UMT itu kerana melihat usaha berkenaan memberi faedah langsung kepada rakyat.

Program kelulut di Pulau Pangkor itu telah bermula pada Oktober 2024 melibatkan dana UMT sebanyak RM36,000 dengan memberi manfaat kepada 10 peserta sehingga mampu menjana pendapatan RM2,500 sebulan bagi setiap peserta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya