Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM - Utusan Malaysia

Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM

ZAMBRY Abd. Kadir (kiri) bersama Kongratbay Sharipov pada Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di UPSI di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengesahkan beliau sudah menerima surat perletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman beberapa hari yang lalu.

Menurut Zambry, surat peletakan jawatan itu ditulis oleh Mohd. Ekhwan sendiri dan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), beliau menerima peletakan jawatan tersebut.

“Beliau ingin memberikan tumpuan pada hal-hal lain jadi atas semangat itu saya terima. Apapun saya akan berjumpa dengan beliau untuk maklumat lanjut.

“Dah beberapa hari yang lalu untuk pengetahuan (surat perletakan jawatan) telah sampai kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan yang julung kali diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan, Kongratbay Sharipov dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.

Pada forum itu, Konsortium Pendidikan Tinggi Antara Malaysia-Uzbekistan (MUHEC) yang ditubuhkan diterajui oleh UPSI menjadi platform strategik untuk menggalakkan mobiliti akademik, projek penyelidikan bersama dan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan tinggi.

Berhubung dakwaan peletakan jawatan itu dibuat oleh Mohd. Ekhwan kerana fitnah dah tohmahan yang dilontarkan kepadanya, Zambry memaklumkan akan menyiasat perkara itu dengan serius.

Beliau memaklumkan proses penggantian Naib Canselor UKM akan mengikuti proses seperti biasa.

“Apapun saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ekhwan yang menjalankan tugas Naib Canselor sangat baik dengan memberikan sumbangan kepada kerjasama antara universiti yang beliau wujudkan,” katanya.

Katanya, Mohd. Ekhwan pernah menjadi Naib Canselor UKM sebelum kontaknya disambung semula.

“Beliau merasakan sampai masanya (berhenti) dan pihak kementerian ucapkan terima kasih,” katanya.

Media melaporkan semalam, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman melepaskan jawatan yang disandang beliau dalam pengurusan tertinggi institut pengajian tinggi itu berkuat kuasa semalam.

Beliau turut memaklumkan satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dibuat berhubung fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan ada salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd. Ekhwan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya