BUKIT MERTAJAM : Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) berjaya membuat kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM172.85 juta sepanjang tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 8.25 peratus daripada jumlah yang direkod pada tahun sebelumnya.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, zakat harta mencatatkan kutipan sebanyak RM165.52 juta berbanding RM152.85 juta pada tahun sebelum itu dengan kadar peningkatan sebanyak 8.28 peratus.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, jumlah kutipan untuk zakat fitrah sepanjang 2024 pula adalah sebanyak RM7.33 juta iaitu peningkatan kira-kira 7.33 peratus berbanding RM6.83 juta pada 2023.
“Sementara itu, seramai 70,782 pembayar zakat harta yang terdiri daripada orang perseorangan atau syarikat direkodkan sepanjang tahun lepas iaitu sedikit menurun berbanding pembayar zakat harta sepanjang tahun 2023 iaitu seramai 72,876.
“Penurunan sebanyak 2.96 peratus ini dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk perubahan kadar nisab haul pembayaran zakat, perpindahan tempat bertugas pembayar ke negeri lain, bersara, pemberhentian pekerja dan sebagainya,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, sepanjang tahun lepas juga, sebanyak RM162.28 juta zakat berjaya diagihkan kepada 44,485 penerima zakat atau mustahik yang terdiri daripada individu atau institusi berkaitan iaitu peningkatan sebanyak 2.61 peratus berbanding 2023.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan jumlah pembayaran serta agihan ini membuktikan secara jelas keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.
Selain itu katanya, penjenamaan semula Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada Zakat MAINPP merupakan langkah transformasi untuk terus melonjakkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi bagi mendepani cabaran pada masa hadapan.
“Transformasi ini penting bagi memantapkan lagi peranan, strategi dan tadbir urus agar lebih berkesan sekaligus memastikan segala gerak kerja dan perancangan pembangunan umat Islam dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujar beliau.-UTUSAN