JOHOR BAHRU: Kadar zakat fitrah bagi tahun 2025 bersamaan 1446H di negeri ini ditetapkan pada tiga kadar, iaitu RM7, RM12 dan RM20.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tiga kadar itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan umat Islam di negeri ini.
Katanya, kadar itu adalah mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.
“RM7 dikhususkan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan, manakala RM12 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras import. RM20 pula bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras super wangi dan basmathi.
“Walau bagaimanapun, rakyat yang menjadikan beras jenis super tempatan sebagai makanan harian, namun terpaksa membeli beras import berikutan tiada bekalan dalam pasaran boleh membayar pada kadar lebih rendah, iaitu RM7,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Negeri Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot.
Mohd. Fared berkata, seramai 1,637 amil dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut zakat fitrah pada tahun ini.
Katanya, bayaran boleh dibuat menerusi tiga cara, iaitu secara dalam talian menggunakan aplikasi TULUS atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah atau kepada amil yang dilantik.
Beliau menggalakkan umat Islam menunaikan pembayaran zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin dilakukan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
MAINJ mengunjurkan sebanyak RM29.32 juta zakat fitrah berjaya dikutip membabitkan 2.51 juta umat Islam di negeri ini.
“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu 36 peratus adalah pembayar zakat bagi RM7 dan 45 peratus bagi pembayar RM12 serta 18 peratus adalah pembayar bagi RM20,” katanya.-UTUSAN