PETALING JAYA: Pasangan penyanyi Indonesia, Mahalini dan Rizky Febian telah selamat menimang cahaya mata perempuan, pada Sabtu lalu.
Berita gembira itu telah dikongsikan oleh Rizky menerusi sebuah hantaran di Instagram selain turut berkongsi nama penuh puteri sulungnya iaitu Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian.
“Telah lahir buah hati kami Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian dengan selamat walafiat pada tanggal 15 februari 2025.
Selamat datang little star. Semoga kelak menjadi anak yang berbakti, solehah dan memberikan berkah untuk orang ramai. Mohon doa daripada semua ya,” katanya.
Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu Makna Cinta itu turut berkongsi beberapa foto ketika dia menemani isterinya berada di bilik bersalin sebagai kenangan indah buat keluarga kecil mereka.
Teruja dengan berita gembira itu, ruangan perkongsian tersebut turut dihujani dengan ucapan tahniah dan doa buat pasangan itu.
Untuk rekod, Mahalini dan Rizky Febian telah berkahwin pada 5 Mei 2024.
Namun, pasangan ini diarahkan untuk melakukan akad nikah sekali lagi pada 27 Disember lalu setelah mendapati pernikahan mereka sebelum ini tidak memenuhi rukun nikah.-UTUSAN