Enggan menoleh ke belakang, pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson, mengakui kini adalah masanya untuk kembali terang dalam bidang seni hiburan setelah begitu lama hiatus demi memberi tumpuan kepada keluarga.
Bahkan, dengan apa yang telah terjadi kepada dirinya, khususnya dalam meniti proses perceraian, Zahnita sedar, kini adalah masanya untuk memberi tumpuan buat diri sendiri, satu perkara yang mungkin sudah lama tidak diutamakannya.
Mengakui lebih 10 tahun terpaksa melupakan dunia seni terutama pentas peragaan, Zahnita tidak menolak bahawa ‘dunia’ inilah yang menjadi ruang eskapisme buatnya selain mencari wang pendapatan.
“Berada di depan kamera, beraksi di depan kamera, semua itu adalah minat dan ‘dunia’ saya suatu ketika dahulu. Pentas peragaan adalah keutamaan, namun lakonan juga saya suka.
“Sebenarnya, saya ada ambil kelas lakonan semasa berada di O Level di New Zealand. Minat berlakon itu memang ada dalam hati. Tawaran berlakon itu ada tetapi sebelum ini saya pernah tolak dengan baik sebab nak tumpu keluarga.
“Sekarang ini insyaAllah, tengok macam mana jika ada yang sesuai. Sebenarnya juga, saya pun pernah menulis skrip juga. Selama duduk di rumah sepanjang tempoh 10 tahun lebih ini, ada juga saya menulis sebab itu juga adalah antara minat saya,”katanya.
Bagaimanapun, kata Zahnita, semua itu tidak akan berlaku secara drastik.
Baginya semua itu perlu dilakukan secara berperingkat dan mengikut kesesuaian masanya memandangkan anak-anak masih kecil dan sebagai ibu, dia enggan lalai memberi tumpuan pada mereka.
Sementara itu, menguis perasaannya tentang kontroversi rumah tangga yang dialaminya sebelum ini, Zahnita mengakui sehingga kini masih berperang dengan perasan trauma kerana baginya apa yang dilalui itu cukup memberi luka mendalam di hati termasuk kesihatan mentalnya.
Malah, Zahnita tidak menolak, setelah segala yang telah dicurahkan buat suami sebelum ini, pengorbanannya itu seakan tidak dihargai.
“Ketahuilah, apa yang berlaku itu pun bukan mudah untuk saya. Namun, jika diri tidak dianggap sebagai seorang ibu atau isteri yang baik, saya sedar hidup ini perlu diteruskan.
“Ada ketikanya saya terfikir, apa salah saya? Apa lagi yang saya boleh lakukan untuk betulkan keadaan? Kemudian saya baru sedar yang masalah itu bukan diri saya tetapi benda lain dan orang lain.
“Namun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya, separuh daripada tempoh perkahwinan itu saya sempat menikmati bahagia. Setelah melalui perkara yang tidak diingini, saya sehingga menutup pintu untuk semua pihak,”katanya.
Jelas Zahnita, apabila dia membuka semula pintu untuk kembali ke dunia hiburan, dia tidak menyangka begitu ramai yang mahu menghulurkan tangan supaya dirinya bangkit semula.
“2019 dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan saya betul-betul berada di bawah sehingga saya mengambil masa yang agak lama untuk bangkit semula dan mencari diri sendiri.
“Saya mula berani bangkit setelah berdepan dengan kejadian terakhir keganasan rumah tangga sebelum ini.
“Malah untuk mengingati momen-momen itu kembali sangat sukar buat saya apatah lagi untuk bercakap mengenainya,”tutur Zahnita dalam nada sedikit bergetar.
Trauma mendalam
Dalam pada itu, ditanya mengenai statusnya sekarang, kata Zahnita, proses perceraian masih berjalan dan mungkin mengambil sedikit masa namun dia optimis mahu mengorak langkah baharu demi ketenangan dan bahagia sendiri.
Bagaimanapun, untuk memikirkan tentang membina perkahwinan baharu selepas ini, perkara itu tidak menjadi keutamaannya memandangkan apa yang telah dilaluinya sebelum ini cukup memberi trauma.
“Saya tak nafikan, diri sangat trauma. Hidup saya dikongkong selama ini dan saya tidak nampak sekuat itu kerana fokus saya kepada anak-anak. Malah saya anggap itu sebagai takdir.
“Saya cuba memahami dugaan saya dern terimanya sebagai satu ujian. Untuk mencari jalan keluar itu setelah mengalami kedukaan dan kelukaan itu juga tidak mudah,”katanya.
Ditanya mengenai pandangannya apabila ramai kalangan wanita menjadikan kisah hidup dan rumah tangganya sebagai sumber inspirasi, Zahnita mengakui terharu.
“Perkara itu membuatkan saya menangis. Tetapi jika ada wanita yang pernah melalui hal yang sama seperti saya, ingat, awak kena kuat, jangan takut untuk minta pertolongan. Awak kena ada perancangan dan hala tuju.
“Memang kita kena serah semuanya kepada Allah, tetapi kita sendiri kena tahu ke mana arah tuju itu. Apa yang awak nak dalam hidup ini, apa yang membuatkan awak bahagia?
“Cuba tanya diri sendiri dan cari arah jalan yang terang itu,”katanya.