LEBIH sedekad melemparkan diri ke Los Angeles (LA) dan mencari tempat dalam industri muzik antarabangsa, Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 38, mencipta kejayaan yang belum pernah digenggam mana-mana penyanyi di Malaysia.
Yuna satu-satunya penyanyi tanah air yang diiktiraf Recording Industry Association of America (RIAA) pada 2023. Bukan itu sahaja, album Chapters pernah disenarai sebagai 10 album R&B terbaik oleh pengkritik Billboard, Gail Mitchell.
Impian besar penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah itu cuma satu iaitu mahu tercalon Anugerah Grammy. Sejak menghasilkan album Nocturnal pada 2013, dia tidak pernah gagal menghantar penyertaan setiap tahun.
Namun kini, Yuna membuat keputusan
memadamkan impian tersebut setelah menyedari cita-cita tersebut tidak lagi sehaluan dengan nilai yang dipegang.
“Sebelum ini saya cari siapakah penerbit muzik di Anugerah Grammy yang boleh diajak berkolaborasi atau adakah muzik yang dihasilkan mengikuti standard Grammy. Siapa perlu saya jumpa untuk promosi?
“Kini, semuanya sudah tiada lagi. Ada beberapa perkara tidak ditakdirkan untuk saya dan itu okay. Contohnya mahu menang Grammy.
“Saya lepaskan semua itu, saya tidak mahu lagi mahu buat muzik untuk mengejar sesuatu.
“Saya mahu hasilkan sesuatu tanpa niat mahu membuktikan sesuatu dalam industri muzik barat. Ia tidak lagi sehaluan dengan nilai saya,” katanya.
Yuna ditemui Utusan Malaysia sejurus showcase Yuna Etherealis, baru-baru ini.
Menerusi salah satu lagu, Be Someone, dalam album terbaharunya Wasting Away, Yuna menceritakan perasaan melepaskan impian besarnya.
Lagu tersebut ditulis ketika Yuna sedang dalam persiapan memindahkan barangan dan kucing kembali ke Malaysia.
“Waktu itu saya sedang sibuk uruskan proses pindah ke Malaysia terutama kucing. Ada banyak kertas kerja yang perlu dibuat.
“Selepas itu saya masuk studio dan penerbit mainkan muzik lagu tersebut dengan gitar. Ia sangat indah dan mula tulis lirik.
“Saya suka LA tapi mungkin sudah masanya saya pulang,” tambahnya yang masih mempunyai rumah di sana.
Bercerita lanjut mengenai perancangan selepas kembali ke Malaysia, Yuna ingin menjalin kerjasama dengan penerbit muzik berbakat dan rakan-rakan penyanyi.
“Saya akan terus hasilkan album, saya akan kembali juga ke LA dan rakam lagu dengan penerbit pro Palestin. Saya seronok bekerja
dengan mereka yang sehaluan dengan saya.
“Saya juga ingin bekerja dengan ramai penerbit muzik baru di sini.
“Tidak sabar juga mahu bekerjasama dengan kawan-kawan seperti Aizat Amdan dan Noh Salleh. Indah dapat kembali berhubung dengab komuniti,” katanya.