SUNGAI SIPUT: Dua ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman serta rumah penduduk di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor dekat sini, ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah liar diberi nama ‘Yob Talang’ dan ‘Yong Shida’ itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Rabu lalu.
Katanya, mamalia tersebut merupakan antara 23 kawanan gajah dari Hutan Simpan Piah yang ditangkap susulan aduan diterima berkaitan gangguan oleh haiwan tersebut sejak 21 Januari lalu.
“Dua gajah denak iaitu Suria dan Indah digunakan untuk memujuk dan menarik Yob Talang dan Yong Shida berusia 20 dan 35 tahun dengan berat dianggarkan sekitar 2.5 tan ke atas lori.
“Operasi translokasi ini dijalankan selama dua hari melibatkan bantuan anggota Perhilitan Johor dan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dua ekor gajah tersebut berjaya ditangkap pada pukul 11 pagi selepas tiga hari Perhilitan menerima aduan berkaitan kacau ganggu haiwan berkenaan.
“Yob Talang dan Yong Shida akan dilepaskan ke habitat asal mereka di hutan Taman Negeri Royal Belum di Gerik,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kawalan dan pemantauan di kawasan berkenaan akan terus dilakukan kerana masih terdapat lagi aduan orang ramai berkaitan kehadiran mamalia berkenaan.
Katanya, sebarang provokasi diingatkan agar tidak dilakukan terhadap haiwan tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sebaliknya segera menghubungi Perhilitan untuk tindakan lanjut.
“Mamalia ini menghampiri perkampungan untuk mencari makan berikutan habitat mereka makin mengecil akibat pembukaan ladang hutan.
“Bagi pihak ladang mahupun syarikat besar, mereka dinasihatkan untuk memasang pagar elektrik dan membina parit gajah bagi membantu mengurangkan konflik haiwan liar dan manusia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah rumah Orang Asli musnah akibat diserang sekawanan gajah liar. Difahamkan, serangan itu menyebabkan pemilik rumah terpaksa menanggung kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000. – UTUSAN