YB DAP diminta berhenti beri cadangan 'pelik'

YB DAP diminta berhenti beri cadangan ‘pelik’

ABRAR SADIQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang hari ini membantah cadangan Ahli Parlimen DAP dari Raub, Chow Yu Hui untuk melantik Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Pengarah Komunikasinya, Abrar Sadiq berkata, cadangan itu tidak selari dengan sistem pentadbiran negara serta boleh menimbulkan polemik yang tidak perlu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Yu Hui agar berhenti memberikan cadangan ‘pelik’ dan menumpukan fokus untuk membina negara secara bersama.

“Malaysia sudah mempunyai mekanisme yang mencukupi dalam menjaga kepentingan agama bukan Islam, termasuk melalui Kementerian Perpaduan yang berperanan memastikan keharmonian dan kebebasan beragama dalam negara.

“Maka, tiada keperluan untuk menambah satu lagi jawatan menteri yang hanya akan melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

“Jadi, cukup-cukuplah memberi ruang kepada Pas untuk menjadikan cadangan seperti ini sebagai ‘modal perkauman’ mereka.

“Negara ini perlu bergerak ke hadapan dengan tumpuan kepada pembangunan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat, bukannya dengan mencetuskan isu yang boleh mencabar sensitiviti masyarakat,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu yang menjaga agama Islam dan hal ehwal bukan Islam semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Parlimen.

Kata Yu Hui, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam. Justeru katanya, di peringkat persekutuan juga boleh mencontohi langkah ini untuk menjamin hak semua rakyat.

Sementara itu, Abrar yang juga Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas berkata, semua pihak, terutamanya pemimpin politik, perlu lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan masing-masing.

“Fokus utama seharusnya membina negara bersama dan bukan menambah jurang perbezaan yang boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik masing-masing,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya