Reformasi pendidikan dan memperkukuhkan kualiti sistem pendidikan adalah antara tumpuan penting Kementerian Pendidikan dalam pengoperasian persekolahan bagi sesi akademik 2025/2026.
Ia antara harapan kepada kira-kira lima juta murid dan lebih 400,000 guru selaras dengan hasrat melahirkan “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”.
Minggu pertama persekolahan adalah memberi peluang kepada sekolah mengikut perancangan lima hari bagi penyesuaian diri dengan ekosistem dan seterusnya meneruskan pembelajaran.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, pengoperasian pembukaan sekolah perlu dimulai dengan suasana ceria serta menyeronokkan untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang mesra dan penuh kasih sayang.
Jelasnya, minggu pertama persekolahan seharusnya dimanfaatkan oleh pihak sekolah dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti menyeronokkan yang dapat menyokong murid dan guru agar bersedia sepenuhnya dari aspek sosio-emosi dan mental untuk melaksanakan proses pendidikan formal.
“Aktiviti minggu pertama persekolahan akan mempengaruhi adab, akhlak dan motivasi murid dalam pembentukan sahsiah berdasarkan aspek karamah insaniah.
“Pihak pentadbir sekolah bertanggungjawab memupuk semua nilai baik yang menjadi dalam kalangan murid agar terus seronok berada di sekolah,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika ditemui baru-baru ini.
Murid diharap dapat memberikan tumpuan dan menggunakan sepenuh ruang dan peluang hadir menimba ilmu dan kemahiran kerana tempoh persekolahan ini sangat panjang iaitu 11 tahun sebelum mereka keluar daripada sistem pendidikan negara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kepada kumpulan guru pula, peranan mereka terus diperkukuh dan Kementerian Pendidikan sentiasa menyokong dengan apa jua perubahan berlaku dalam sistem pendidikan.
“Kepimpinan di sekolah juga penentu kepada perjalanan organisasi. Pengetua dan guru besar miliki daya kepimpinan dan wawasan tinggi untuk membangunkan anak bangsa.
“Institusi pendidikan tidak boleh bergerak sendiri kerana elemen paling penting dalam institusi ini ialah murid. Apabila ada murid, maka, ada guru yang merupakan tonggak dalam sistem pendidikan negara.
“Namun, pemimpin di sekolah yang harus memberi navigasi kepada sekolah dan paling penting keterlibatan ibu bapa dalam menyokong pihak sekolah,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberikan harapan kepada pemegang taruh dan komuniti yang ada di persekitaran sekolah untuk menyokong ekosistem pendidikan negara.
Peranan mereka boleh digembleng bersama dengan melihat pendidikan sebagai milik bersama sekali gus berada di tahap terbaik yang yang rakyat harap untuk generasi akan datang.
Kementeriannya juga komited memastikan setiap anak Malaysia mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang selamat dan kondusif dengan menaik taraf dan membina semula bangunan-bangunan daif di sekolah.
Ia bukan sahaja memberi peluang kepada murid untuk belajar dengan selesa tetapi juga menyuntik semangat dan motivasi kepada mereka seterusnya, meyumbang kepada peningkatan prestasi dan kemenjadian murid.
“Kami juga ingin melihat jurang infrastruktur dan fasiliti pendidikan anatara kawasan pedalaman atau luar bandar dengan sekolah di bandar dapat dirapatkan.
“Harapan kami adalah sekolah bukan sahaja menjadi tempat pembelajaran tetapi juga pusat komuniti yang memupuk perpaduan, nilai moral, dan kebanggaan kepada generasi muda.
“Jika kita dapat memastikan sekolah yang selamat, selesa dan berkualiti di setiap pelusuk negara, kita akan dapat melihat perubahan besar dalam daya saing murid dan akhirnya masa depan negara,” katanya. – UTUSAN