MELAKA: Terdapat segelintir kakitangan agensi-agensi agama Islam di negeri ini terlibat aktiviti penyelewengan membabitkan nilai mencecah ratusan ribu ringgit.
Perkara itu diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, namun beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung jenis kesalahan dilakukan.
Rahmad berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kerana sikap sedemikian menonjolkan imej negatif terhadap Islam.
“Mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan akan dikenakan tindakan tegas. Sebelum ini kita sudah beri amaran tetapi berlaku juga.
“Jadi kita serahkan kepada undang-undang dan telah pun (ada) yang ditahan serta menunggu pendakwaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas teguran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung salah laku membabitkan kakitangan agensi-agensi agama Islam negeri.
Ab. Rauf dalam ucapannya menggariskan lima fokus utama bagi memantapkan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama di Melaka.
Menurutnya, antara fokus yang diberikan tumpuan adalah meningkatkan kecekapan dan ketelusan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.
“Saya mahu semua ketua jabatan agensi-agensi agama Islam sentiasa memantau rapat dan menegaskan kakitangan masing-masing supaya berintegriti, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah sepanjang bertugas.
“Di bawah pentadbiran ini, saya tidak akan sesekali berkompromi melibatkan hal ehwal ketirisan dan penyalahgunaan kuasa. Sikap ini bukan sahaja mencemarkan imej perkhidmatan awam tetapi menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan agensi agama,” ujarnya.-UTUSAN