MARANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memantau lokasi di Jambatan Marang, di sini susulan tular video kehadiran seekor buaya di kawasan itu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima daripada orang awam yang memaklumkan berhubung kehadiran reptilia berkenaan.
“Kita belum menerima sebarang laporan berhubung penemuan buaya itu namun akan menyiasat kewujudan di kawasan sekitar jambatan.
“Kita minta mereka yang mempunyai maklumat menghubungi pejabat Perhilitan berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengingatkan orang ramai terutama nelayan darat supaya tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan dan melaporkan penemuan itu kepada Perhilitan bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 40 saat yang tular menunjukkan kelibat replitia berkenaan sedang berenang berhampiran Jambatan Marang. – UTUSAN