JOHOR BAHRU: Sekumpulan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura tidak sempat berseronok dengan hasil jualan dadah apabila diberkas polis dalam tujuh serbuan di sekitar bandar raya ini.
Kegiatan jenayah mereka yang dipercayai bermula awal tahun ini terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun yang dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 6 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, hasil soal siat ke atas suspek, pihaknya menyerbu sebuah kondominium di Danga Bay, di sini dan menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun.
“Kondominium yang disewa itu dijadikan tempat membungkus pelbagai jenis dadah serta stor simpanan bahan terlarang tersebut.
“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, polis berjaya menahan seorang lagi rakan mereka, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di kawasan tempat meletak kereta kondominium yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Pihak polis kemudian melakukan empat lagi serbuan ke atas tiga kondominium dan sebuah rumah teres di Danga Bay, Setia Indah, Pelangi Indah dan Tampoi, di sini.
Kumar berkata, dalam tujuh serbuan itu pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 15.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (1kg), syabu (1.35kg), 294 gram (g) ganja, 7,800 biji pil ekstasi serta 6,250 biji pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM3,178,258.
“Modus operandi digunakan sindiket ini ialah menjadikan kondominium dan rumah teres berpengawal sebagai tempat membungkus dan stor menyimpan dadah sebelum diedarkan.
“Kita percaya bekalan dadah itu diperoleh dari Kuala Lumpur dan dibungkus semula dalam bungkusan minuman pra campuran berperisa kopi dan coklat bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diedarkan dalam pasaran tempatan,” katanya.
Polis turut merampas empat buah kenderaan, termasuk Mercedes-Benz, Honda HR-V, sebuah motosikal, 14 utas jam tangan, barang kemas serta wang tunai yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM402,635.
Ketiga-tiga suspek direman hingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN