PETALING JAYA Seorang pesara swasta berusia 67 tahun kerugian RM1.7 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang dipercayai didalangi individu menggunakan gelaran ‘Profesor’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham yang muncul di laman Facebook pada penghujung Ogos tahun lalu sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan dua individu dikenali sebagai Prof. Lim dan Branda Ng.
“Mangsa dijanjikan pulangan lumayan dan diyakinkan untuk melabur dalam pasaran saham tempatan serta antarabangsa.
“Bagi tujuan itu, mangsa telah membuat 16 transaksi pembayaran berjumlah RM1.7 juta ke dalam enam akaun bank berbeza.
“Pada Oktober 2024, suspek mendakwa pelaburan dalam pasaran saham Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai kemuncaknya sebelum mencadangkan mangsa melabur dalam pasaran mata wang kripto,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hussein, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila gagal memperoleh keuntungan seperti dijanjikan, menyebabkan dia tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya baru-baru ini.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak munasabah, terutama yang dipromosikan melalui media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status pelaburan dengan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.
“Jika mengesyaki sebarang aktiviti penipuan, sila hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk mendapatkan semakan dan nasihat,” katanya. – UTUSAN