KOTA TINGGI: Seorang warga emas didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki senapang patah dan lebih 100 butir peluru tanpa permit.
Tertuduh, Omar Busari, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 108 butir peluru jenis ‘buckshot’ (12 bore) tanpa lesen di Ladang Pasir Panjang kira-kira pukul 12 tengah hari, 21 Februari 2025.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Nor Ayu Hidayah M. Safri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Afiqah Hambali.
Nur Afiqah memohon mahkamah mengenakan denda paling minimum kerana kesalahan itu adalah kali pertama dan tertuduh seorang warga emas yang tidak bekerja.
Tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta kesalahan dilakukan tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara selama 12 bulan, jika gagal bayar.
Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dipercayai digunakan untuk memburu binatang secara haram di sekitar daerah ini. – UTUSAN