SABAK BERNAM: Seorang lelaki warga emas maut selepas tercampak keluar dari pacuan empat roda dipandunya yang dilanggar kenderaan lain di Kilometer 70, Jalan Teluk Intan – Klang, Sekinchan di sini, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 62 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, siasatan mendapati lelaki yang memandu Toyota Hilux berada di lorong kiri arah Klang.
Katanya, pemandu itu kemudian dipercayai mengubah haluan ke lorong kanan untuk memasuki susur pusingan U.
“Pacuan empat roda itu bagaimanapun dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova. Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah pacuan Ford Ranger,” katanya hari ini.
Tambah Robin, kes itu disiasat pihaknya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Shaifuddin Mohd. Nor di talian 017-6645812 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN