SEREMBAN: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Port Dickson, empat tahun lalu.
Tertuduh, Said Sapie, 72, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu kira-kira pukul 1 tengah hari pada Mac 2021.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana dia tidak bekerja selain menjaga cucu kerana kematian anaknya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa dan semua saksi.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 7 Mac ini.-UTUSAN