Warga asing tidak layak nikmati pas perjalanan tanpa had BAS.MY

Warga asing tidak layak nikmati pas perjalanan tanpa had BAS.MY

ANTHONY Loke (kanan) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pelancaran SBST BAS.MY Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS.MY perlu membayar tambang pada kadar biasa tanpa subsidi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, golongan itu tidak layak memperoleh keistimewaan yang dinikmati warga tempatan meskipun dilihat sebagai kumpulan yang sering menggunakan perkhidmatan awam.

Katanya, hanya warga tempatan sahaja layak mendapatkan pas bulanan perjalanan tanpa had iaitu Kad 30 Hari BAS.MY bernilai RM50.

“Warga asing tidak layak untuk mendapatkan pas bulanan tanpa had ini. Bayaran RM50 untuk pas itu adalah subsidi kerajaan untuk warga Malaysia sahaja.

“Kalau warga asing, mereka perlu beli tiket dan bayar tambang berdasarkan jarak,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran SBST BAS.MY Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.

Menurut beliau, kad konsesi BAS.MY yang sebelum ini menawarkan tambang percuma kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan pelajar sekolah kini diperluaskan kepada golongan mahasiswa.

Katanya, untuk menikmati inisiatif tambang percuma itu, warganegara yang layak perlu berdaftar sekali sahaja dengan bayaran RM10.

“Kos pengangkutan merupakan antara komponen dalam kos sara hidup. Jadi kerajaan memang bersungguh-sungguh bagi membantu rakyat dalam meringankan beban sara hidup mereka.

“Perkhidmatan yang disediakan oleh BAS.MY ini dapat menjimatkan kos pengangkutan antara RM100 hingga RM150 sebulan. Ini penjimatan yang agak besar kepada pekerja.

“Bayangkan kalau duduk di Kampar atau Kuala Kangsar dan datang bekerja di Ipoh, mereka menggunakan pas perjalanan tanpa had, sudah tentu ia memberi penjimatan yang banyak sekali gus dapat membantu mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan BAS.MY di Ipoh melibatkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar (MDK), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Majlis Daerah
Perak Tengah (MDPT).

Katanya, melalui inisiatif BAS.MY Ipoh, sebanyak 51 buah bas baharu disediakan merangkumi 14 bas midi dan 37 mini low floor.

“Kerajaan Persekutuan membuat pelaburan sebanyak RM13.17 juta setahun atau RM65.85 juta bagi tempoh lima tahun dalam memastikan perkhidmatan BAS.MY Ipoh mencapai kejayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya