LIPIS: Tiada apa mampu dilakukan oleh seorang wanita warga emas dari Kampung Machang Berguling, Mukim Cheka di sini sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan ahli keluarganya termasuk menguruskan diri kerana diuji dengan kanser darah, sejak tiga tahun lalu.
Jarah Mudin, 73, yang juga seorang ibu tunggal sudah 12 kali menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lipis bagi mematikan sel kanser daripada terus merebak ke bahagian organ lain.
Anaknya, Rosni Mat Ail, 44, berkata, kesihatan ibunya semakin merosot dan sudah tidak mampu menguruskan diri serta perlu bergantung kepada bantuan ahli keluarga untuk bergerak.
“Sebelum diagnosis kanser, badan emak naik lebam dan tidak surut walaupun makan pelbagai ubat, jadi kami semua sepakat membawa emak ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.
“Setelah pemeriksaan terperinci yang dibuat termasuk ujian darah dan hasil imbasan tomografi berkomputer mengesahkan emak menghidap kanser darah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosni berkata, sebelum ini ibunya tinggal bersendirian di rumah pusaka di Kampung Atong, namun sejak disahkan menghidap kanser darah dia bersama empat adik-beradik lain sepakat bergilir-gilir menjaga warga emas itu.
“Sejak menderita kanser ini, emak terpaksa berpantang makan termasuk tidak boleh menjamah makanan laut kerana ia boleh menyebabkannya jatuh sakit,” ujarnya.
Tambah Rosni, pendapatan suaminya, Mohamad Ruslan Zakaria, 48, yang bekerja sebagai penoreh getah sekitar RM700 sebulan tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga.
“Walaupun emak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM500 sebulan, ia belum mencukupi untuk menampung kos membeli lampin pakai buang, selain perbelanjaan berulang-alik ke hospital setiap bulan bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Tambahan dua daripada tiga anak saya masih belajar termasuk seorang menuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan ia memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Mohamad Ruslan, 156208158983. – UTUSAN