PASIR MAS: Seorang wanita warga emas ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes mencuri wang RM2,500 semasa kenduri perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, dekat sini pada 1 Februari lalu.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Rakan suspek berusia 63 tahun yang ditahan bersamanya di hadapan sebuah masjid dekat Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu turut direman tempoh sama.
Terdahulu, seorang wanita warga emas dilaporkan diberkas polis selepas dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 semasa majlis kenduri di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan.
Suspek diberkas pada pukul 2.35 petang di hadapan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun. – UTUSAN