Wanita warga emas cedera diragut penunggang motosikal - Utusan Malaysia

Wanita warga emas cedera diragut penunggang motosikal

TANGKAP layar kejadian seorang lelaki dipercayai penghantar makanan meragut rantai tangan emas seorang wanita di Bandar Seri Botani, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita warga emas kerugian RM3,000 selepas rantai tangan emasnya diragut penunggang motosikal dipercayai penghantar makanan di hadapan rumahnya di Bandar Seri Botani, dekat sini hari ini

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun mengalami luka dan lebam di bahagian lengan, lutut dan dahi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 1.35 petang.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang berada di sisi sebuah kereta telah dipukul dan rantai tangan emasnya diragut suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha EZ 115.

“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati mangsa luka dan lebam di lengan, lutut dan dahi selain disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Nur Nazihah di talian 019-6363536 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial video kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah rumah di mana seorang lelaki dilihat berhenti di sisi sebuah kereta jenis Perodua Kenari sebelum menyerang mangsa dan meragut rantai emasnya.

Difahamkan, suspek sebelum itu pergi ke rumah wanita terbabit untuk menghantar makanan namun anak perempuan mangsa memberitahu tiada sebarang pesanan makanan dibuatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya