Wanita pitam selepas mengaku larikan RM2,500 semasa kenduri

Wanita pitam selepas mengaku larikan RM2,500 semasa kenduri

TUAN Maimun Che Tuan semasa dibawa polis menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang wanita warga emas pitam selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 di sebuah majlis kenduri di Tasek Berangan pada 1 Februari lalu.

Tuan Maimun Che Tuan, 61, hampir rebah semasa membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi selepas anggota polis mengemukakan bukti-bukti kes.

Situasi menyebabkan prosiding pendakwaan ditangguh selama 10 minit bagi memberi ruang kepada Tuan Maimun bertenang.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan curi dalam bangunan iaitu wang sebanyak RM2,500 milik Norhayati Mohd. Noor, 59, di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini, kira-kira pukul 12.42 tengah hari pada 1 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan bagi kesalahan kedua, penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh juga mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara 24 bulan bermula 9 April 2003 di Mahkamah Majistret Bachok dan 10 bulan penjara bermula 20 April 2011 di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat.

Terdahulu, Syazalia memohon hukuman yang setimpal dikenakan kerana mengambil kira kepentingan awam dan mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM2,500.

“Tertuduh mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes sama. Tertuduh juga mengaku bersalah atas kesalahannya sekali gus menunjukkan bahawa dia tidak insaf atas perbuatannya.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal termasuk denda dikenakan kepada tertuduh,” katanya.

Nur Amira dalam rayuannya memaklumkan bahawa tertuduh yang merupakan ibu kepada enam  anak tinggal seorang diri selain mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan  masih dalam rawatan selepas menjalani pembedahan usus.

“Pengakuan bersalah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa mahkamah. Justeru, tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minimum bagi kesalahan tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 24 bulan bermula tarikh sabitan dan denda RM3,000 dengan tambahan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Norhayati ke rumah ibunya di Kampung Tasek Berangan untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara sebelum meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur rumah tersebut.

Mangsa mendapati beg tangan berisi wang RM2,500 yang diletakkan di atas almari hilang semasa mahu pulang.

Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian dapur rumah itu menunjukkan tertuduh mengambil wang RM2,500 dan meninggalkan beg tangan mangsa di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas bahagian dapur rumah.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 semasa majlis kenduri di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan berjaya diberkas polis.

Suspek berusia diberkas pada pukul 2.35 petang di hadapan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu dekat sini semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya