KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berasa berbelah bahagi di sebalik kemenangan besar pasukan kendaliannya ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan jaringan 6-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Wan Rohaimi berkata, meskipun gembira apabila kemenangan yang dihajati dicapai, beliau tetap risau apabila pasukannya masih gagal menyudahkan banyak peluang dicipta pada perlawanan tersebut.
Katanya, jika bertemu pasukan lebih baik dan Penang FC terus gagal menyudahkan peluang dihasilkan, mereka akan kecewa seperti dirasai ketika menentang Selangor yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang sekadar mengutip satu mata apabila banyak peluang dibazirkan.
“Bukan saya tidak gembira menang 6-1. Namun kita tengok sendiri, peluang yang boleh dikatakan 80 hingga 90 peratus gol tetapi kita gagal menyudahkannya kerana penyudah tumpul dan itu tidak patut berlaku pada tahap Liga Super.
“Pada masa sama dari sudut positifnya, mereka (barisan pemain Penang) sentiasa mencipta peluang. Sebab itu saya kata saya gembira dalam kerisauan,” katanya selepas perlawanan itu malam tadi.
Mengulas perlawanan itu, Wan Rohaimi berkata, beliau tidak menetapkan jaringan besar walaupun KDN FC turut dibelasah Perak dengan jaringan 7-0 pada perlawanan sebelum ini.
Katanya, malah lebih sukar menentang sebuah pasukan dengan mentaliti ‘tidak rugi apa-apa’ kerana tekanan akan beralih kepada pasukan yang masih berjuang untuk memperbaiki kedudukan seperti Penang FC.
“Pada separuh masa pertama kita boleh nampak pemain kita tertekan apabila lawan (KDN) mula bermain secara kompak. Kita sedar dan berlaku perubahan ketara pada separuh masa kedua apabila pemain lebih sabar dalam mencipta peluang serta memperoleh empat gol,” katanya. – UTUSAN