KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menghantar isyarat lebih tegas terhadap rancangan rampasan Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang disifatkan mampu memberi kesan buruk terhadap masa depan Palestin dan rakyatnya.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata, Parlimen boleh digunakan sebagai lidah rasmi untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan ‘gila’ tersebut.
“Bantahan berterusan dan konsisten amat penting, termasuk mengadakan demonstrasi bagi menyampaikan mesej tegas kepada Trump,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila notis usul yang dikemukakannya untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Ini adalah kali kelima notis usul berkaitan isu Gaza dan Palestin yang saya kemukakan kepada Speaker (Johari) sejak tahun lalu, tetapi masih ditolak.
“Alasan isu ini sudah dijawab oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan minggu lalu namun masih tidak memadai kerana jawapan tersebut lemah dan tidak membantu mengangkat perjuangan Palestin,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Trump terus mendesak Raja Jordan, Raja Abdullah menerima rakyat Palestin yang dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.
Walaupun berdepan tentangan keras dari Jordan, Trump tetap berkeras dengan idenya untuk mengubah Gaza yang musnah akibat perang menjadi ‘Riviera Timur Tengah’.
Namun, Raja Abdullah menegaskan Jordan kekal dengan pendirian tegas menolak pemindahan penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, bersempadan dengan negaranya. – UTUSAN