Walau berstatus pelarian, Rohingya pentingkan pendidikan anak

Walau berstatus pelarian, Rohingya pentingkan pendidikan anak

KANAK-kanak Rohingya yang belajar di Madrasah Darul Umum Rohingya di Parit Buntar. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Walaupun tinggal di negara ini dengan status pela­rian, komuniti Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Tanjung Piandang di sini tetap mengutamakan pendidikan anak mereka.

Untuk itu, mereka membangunkan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Madrasah Darul Umum Rohingya yang memberi peluang anak mereka mendapatkan pendidikan asas.

Madrasah itu dibina secara bergotong-royong, beroperasi sejak tiga tahun lalu di atas sebuah tanah yang disewa daripada penduduk tempatan dengan bayaran bulanan sebanyak RM300.

Pembinaan secara gotong-royong oleh komuniti Rohingya menggunakan wang sumbangan daripada masyarakat Rohingya dan persatuan mereka di negara ini.

Difahamkan, selain madrasah di Tanjung Piandang, dua lagi sekolah etnik Rohingya dibina di daerah Kerian iaitu di Teluk Medan Bagan Serai dan di kawasan Taiping.

Sabbir Ahmed, 57, yang meru­pakan satu-satunya tenaga pengajar di Madrasah Darul Ulum memberitahu, walaupun mereka adalah pelarian, ibu bapa etnik Rohingya amat menyedari pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Pendidikan bukan sahaja memberi asas dalam membaca, menulis dan mengira tetapi juga memberi peluang untuk anak-anak mereka memperoleh ilmu pengetahuan yang lebih luas.

“Di madrasah ini kami mempunyai 28 murid yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara lima hingga 12 tahun.

“Mereka datang belajar setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dan selepas waktu rehat, pembelajaran disambung semula hingga pukul 5 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Sabbir, sesi pagi di madrasah itu memberi tumpuan kepada pengajaran bacaan al-Quran dan surah-surah manakala pada sesi petang, pelajaran asas dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Pendidikan agama di madrasah ini lebih berfokus kepada pengajaran asas agama Islam tanpa memfokuskan pada pegangan mazhab tertentu walaupun kebanyakan pelarian Rohingya mengikuti mazhab Hanafi.

“Pengajaran di madrasah ini hanya memberi penekanan pada ajaran-ajaran Islam yang asas dan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya