Wakil kerajaan dalam Majlis Media buka ruang campur tangan politik 

Wakil kerajaan dalam Majlis Media buka ruang campur tangan politik 

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia perlu berfungsi sebagai sebuah badan kawalan kendiri yang bebas daripada pengaruh kerajaan, seperti mana yang diamalkan di banyak negara demokrasi lain.

Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), keputusan kerajaan untuk melantik dua orang wakil kerajaan ke dalam majlis ini menimbulkan kebimbangan besar kerana ia bertentangan dengan prinsip asas kawalan kendiri. 

Katanya, dalam konteks kebebasan media, kewujudan wakil kerajaan dalam badan ini membuka ruang kepada campur tangan politik yang akhirnya boleh melemahkan peranan majlis tersebut sebagai kawal selia yang sah dan bebas.

“Sebagai perbandingan, negara-negara yang mengamalkan kebebasan media dengan baik seperti United Kingdom dan Jerman tidak membenarkan kerajaan campur tangan dalam badan kawalan kendiri industri media.

“Di United Kingdom, Independent Press Standards Organisation (IPSO), yang bertanggungjawab mengawal selia etika kewartawanan, terdiri sepenuhnya daripada wakil media dan profesional berkaitan, tanpa penglibatan langsung kerajaan.

“Peranan kerajaan hanyalah menyediakan rangka undang-undang umum, tetapi tidak mempunyai kuasa melantik ahli atau mempengaruhi keputusan badan ini. Begitu juga di Jerman, di mana Deutscher Presserat (Majlis Akhbar Jerman) dikendalikan sepenuhnya oleh industri media sendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“Badan ini berfungsi sebagai pengawal selia kendiri yang memastikan media bertanggungjawab dalam melaporkan berita berdasarkan kod etika yang ditetapkan oleh pengamal media sendiri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, model kawalan media dengan campur tangan kerajaan lebih ketara di negara-negara yang mengawal kebebasan bersuara, seperti China dan Rusia.

Di China kata beliau, Suruhanjaya Penerbitan dan Media berada di bawah kawalan kerajaan dengan pegawai kerajaan berperanan besar dalam menentukan kandungan yang boleh dan tidak boleh diterbitkan.

Begitu juga di Rusia katanya, di mana kerajaan menggunakan Roskomnadzor (Perkhidmatan Penyeliaan Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa) untuk menyekat media yang dianggap tidak sehaluan dengan dasar kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya