SEREMBAN: Dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah iaitu Kampung Chergun dan Guntur dikuarantin serta merta selepas terdapat satu kes kematian akibat penyakit kusta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia ekoran kes kematian membabitkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di Kampung Chergun yang sudah mengalami demam selama seminggu.
Katanya, secara keseluruhannya, terdapat sembilan penduduk, lima daripadanya dari Kampung Chergun dan empat dari Guntur telah disahkan mengidap sakit kusta pada 2 Januari lalu.
“Kita minta juga Jeram Tengkek yang terletak berhampiran perkampungan itu ditutup sementara waktu untuk melihat perkembangan kes kusta ini. Penyakit ini boleh merebak dan kita fikir langkah mencegah lebih baik.
“Penyakit ini sudah lama tiada dan kita sebolehnya kena kawal (kuarantin) dahulu termasuk kawasan berhampiran. Kita mahu elak orang ramai menghampiri kawasan wabak,” katanya katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi berkata, buat masa ini, perkampungan berkenaan kini tidak boleh dikunjungi mana-mana pihak.
Menurutnya, pada 22 Januari, satu perbincangan telah diadakan antara Pejabat Kampung Orang Asli Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengesahkan jumlah bilangan pesakit di kampung berkenaan.
“Saringan agresif telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan kepada semua penduduk kedua-dua kampung berkenaan,” katanya
Menurutnya, 65 peratus daripada penduduk telah dibuat saringan berkaitan kusta dan pada 15 Februari satu lagi saringan membabitkan keseluruhan penduduk di Kampung Chergun telah dilaksanakan.
“Langkah-langkah mencegah penyakit supaya tidak merebak kepada masyarakat sekitar telah pun dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya
Difahamkan, sembilan pesakit berusia seawal tujuh tahun hingga berusia 85 tahun.-UTUSAN