PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung video skandal rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat Sabah.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kenyataan Azam bahawa video yang disiar mengaitkan rasuah projek cari gali mineral sudah disunting dan tiada kredibiliti adalah bertentangan dengan naratif serta kesungguhan Perdana Menteri.
“Kenyataan terbaharu Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak peduli dengan sebesar mana atau setinggi mana kedudukan seseorang yang terpalit dengan rasuah.
“Ini merupakan tamparan kepada SRPM yang menolak bukti video dalam skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, SPRM mendapati lapan video yang dikaitkan dengan isu rasuah membabitkan ADUN Sabah tidak mempunyai kredibiliti dalam proses siasatan.
Azam berkata, hasil laporan bahagian forensik suruhanjaya itu yang dikeluarkan baru-baru ini mendapati video-video berkenaan mempunyai elemen suntingan.
Mengulas lanjut, Ronald menyeru agar SPRM melihat semula kenyataan bekas Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.
“Latheefa menyatakan bahawa video skandal rasuah ADUN Sabah merupakan bukti yang wajib disiasat. Malah, beliau juga menegaskan dia tidak bersetuju dengan kenyataan Azam bahawa video disunting tidak boleh dijadikan bukti.
“Justeru, dalam kes ADUN Sabah ini, saya yakin SPRM akan bertindak selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang tidak peduli dengan kedudukan atau jawatan mereka yang terpalit rasuah,” katanya. – UTUSAN