MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar rantaian kecemerlangan berterusan dalam pengurusan tenaga lestari dengan merangkul Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024 (Energy Management in Large Building) anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Pengumuman dan hadiah kemenangan UTeM bagi NEA 2024 ITU disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri PETRA, Datuk’ Seri Fadillah Yusof pada majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024 yang telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.
Dengan kemenangan itu, UTeM menerima sebuah piala, sijil anugerah kecemerlangan serta wang tunai sebanyak RM 40,000.
Dalam majlis itu, universiti berkenaan diwakili oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar Profesor Madya Dr Musthafah Mohd Tahir menerima hadiah kemenangan ini.
Massila berkata, kejayaan itu membuktikan UTeM sebagai satu-satunya organisasi dalam kalangan institiusi pengajian tinggi (IPT) atau bukan yang menang di NEA dua kali berturut-turut dan kemenangan pertama UTeM pada NEA 2021.
Jelasnya, rantaian kejayaan cemerlang ini menzahirkan komitmen berterusan UTeM menjadi peneraju serantau dalam bidang pengurusan tenaga lestari di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Ia berfokus kepada 2 bidang SDG (Matlamat Pembangunan Lestari) iaitu SDG11 (Bandar dan Penempatan Mampan) dan SDG12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab),” katanya.
Mengupas faktor kejayaan UTeM pula, Massila berkata, pihaknya mempunyai formula tersendiri antaranya adalah menerusi strategi mengadaptasi Sistem Pengurusan Tenaga Lestari di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) yang disesuaikan dan diintegrasikan ke dalam sistem pengurusan universiti dan disokong pula dengan inovasi dalam pengurusan tenaga yang berkesan.
“Terdahulu UTeM telah strategikan dengan perancangan pengurusan tenaga yang jelas dan usaha bersama seluruh warga UTeM dalam menjalankan aktiviti kecekapan tenaga selain kecemerlangan koordinasi di semua Pusat Tanggungjawab dan Pusat Berkuasa Universiti (PBU) yang diketuai oleh Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi),” katanya lagi.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff menyatakan kemenangan berturut-turut itu telah menonjolkan dan meletakkan UTeM di landasan terbaik bagi menyokong Teras Strategik UTeM 2023-2025 yang ke 5 (Mengembang Nilai, Menggamit Kemakmuran), melalui pengukuhan penjenamaan dan kedudukan.
“Pada masa yang sama kejayaan ini turut memberi peluang kepada UTeM untuk meluaskan kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa terutama penyelidikan yang berfokus dalam membantu dunia merealisasikan matlamat berkaitan SDG,” katanya.
Mengulas tentang cabaran dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari, Ketua Projek NEA dan AEA 2024, merangkap Ketua Bahagian Tenaga Pintar, CENSEi dan Pengurus Tenaga UTeM, Ir. Dr. Mohamad Firdaus Sukri mengakui wujud cabaran besar memandangkan UTeM boleh dikatakan sebuah organisasi yang besar dengan jumlah staf dan pelajar yang ramai.
Tambah beliau, UTeM mempunyai keunikan yang tersendiri kerana pengurusan tertinggi dan warga UTeM secara keseluruhannya mempamerkan komitmen yang jitu dan konsisten dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pengurusan tenaga lestari di UTeM. – UTUSAN