UTeM, PTPTN meterai MoU jalin kerjasama strategik

UTeM, PTPTN meterai MoU jalin kerjasama strategik

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi pemeteraian Memoradum Persefahaman (MoU), di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, kerjasama itu bertujuan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan bagi memenuhi keperluan industri.

“MoU ini merangkumi penyampaian informasi dan promosi melalui medium hebahan, pembudayaan penabungan Simpan SSPN dalam kalangan warga UTeM serta penyelidikan bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

“Kami menyambut baik inisiatif ini yang akan membantu memperkasa kebajikan pelajar, khususnya dalam kemudahan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi meringankan beban kewangan mereka setelah bergraduat,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kerjasama tersebut melibatkan penabungan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) serta penglibatan Alumni UTeM dalam perkongsian data, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pemberian anugerah kepada kakitangan serta pelajar menerusi akaun Simpanan SSPN.

Massila berkata, UTeM turut menzahirkan penghargaan atas jalinan kerjasama itu dan berharap PTPTN terus komited dalam membantu pelajar institusi pendidikan tinggi mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada pembangunan negara.

MoU itu ditandatangani oleh Massila disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Dalam majlis tersebut, PTPTN turut menyerahkan sumbangan Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan PTPTN berjumlah RM200,000 melalui Wakalah Zakat Maybank Islamic Berhad (MIB) bagi membantu menyelesaikan pinjaman pendidikan 10 graduan asnaf yang telah menamatkan pengajian di peringkat diploma.

PTPTN merakamkan penghargaan kepada MIB atas keprihatinan yang ditunjukkan dan berharap sumbangan itu dapat memberi motivasi kepada para graduan UTeM untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya