USIM tumpu inisiatif bangunkan AI Syariah

USIM tumpu inisiatif bangunkan AI Syariah

SEBANYAK 35 agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, wakil kerajaan serta peneraju AI dan wakil industri menyertai Hari AI Pendidikan Tinggi 2025 di Bangi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat untuk menerajui inisiatif membangunkan kecerdasan buatan (AI) berkaitan syariah yang berpotensi membantu dalam penyelesaian isu yang dihadapi oleh umat Islam.

Antara isu asas yang sering menjadi perbincangan dalam kalangan umat Islam di negara ini dan peringkat global adalah pembahagian faraid, solat, puasa, haji dan halal.

“USIM meyakini kemampuan teknologi AI dapat merealisasikan matlamat penubuhan universiti dalam membantu menjamin kemaslahatan ummah.

“Justeru itu, USIM terbuka untuk bekerjasama dengan pihak industri dan agensi kerajaan yang berminat untuk bersama-sama universiti dalam usaha menggerak, mewujud dan membangunkan AI Syariah sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial bersama dan berterusan kepada ummah,” katanya dalam kenyataan.

Hasrat USIM untuk menerajui AI Syariah itu dinyatakan bersempena penganjuran Hari Kecerdasan Buatan Pendidikan Tinggi 2025 (Hari AI) yang berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 Februari di Bandar Baru Bangi.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang menegaskan komitmen kerajaan untuk melahirkan 200,000 pakar AI menjelang 2030 melalui MY AI NEXUS.

Beliau turut menekankan kepentingan AI dalam meningkatkan kecekapan operasi universiti serta memperkasa pembelajaran digital.

Pada majlis sama, turut dilancarkan buku ‘Ketahanan Digital – Mengemudi Transformasi Dalam Persekitaran Dinamik’ yang menghimpunkan penulisan bertemakan teknologi maklumat dari lapan buah universiti hasil usaha Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan diterbitkan oleh USIM.

Program Hari AI Pendidikan Tinggi 2025 merupakan usahasama USIM, KPT dan Majlis Pengarah-Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (Mapita) bersama wakil kerajaan dan industri dalam membantu institusi pendidikan tinggi mengenal pasti dan mengadaptasi teknologi AI di agensi masing-masing.

Ini penting agar perancangan jangka masa pendek dan panjang AI yang dibangunkan di agensi mampu menghasilkan inovasi berdaya tinggi di peringkat global.

Selain itu, melalui penggunaan AI, digitalisasi kampus yang dihasratkan oleh KPT akan dapat dilaksanakan melalui kecekapan dalam penyampaian ilmu, peningkatan keberkesanan pendidikan, pengurangan kos operasi universiti, peluang pembelajaran yang lebih fleksibel serta pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat digital masa hadapan.

Pada masa kini, beberapa universiti penyelidikan diberikan fokus bidang khusus Kecerdasan Buatan untuk diterajui seperti Univerisiti Malaya (AI Dalam Perubatan); Universiti Putra Malaysia (Keselamatan Siber Dan Kriptologi); Universiti Sains Malaysia (Semikonudktor) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (Penterjemahan Bahasa Melayu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya