Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Maklumat Malaysia (UniKL MIIT) berjaya mencipta sejarah dengan mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records melalui program Augmented Reality atau Realiti Terimbuh (AR) Mural di bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Gurney.
Projek tersebut mengambil masa selama 19 jam 54 minit bagi kategori ‘Mewarna Mural Augmented Reality (AR) Terpantas’ untuk disiapkan melalui kerjasama antara pelajar UniKL MIIT dengan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gurney, kakitangan UniKL dan para alumni.
Timbalan Dekan Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi (IIIP), UniKL MIIT, Prof. Madya Dr. Bazilah A. Talip berkata, projek itu bertujuan untuk mencantikkan dan mengaktifkan suasana sekolah dengan mural yang menggabungkan teknologi AR.
bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman pembelajaran melalui elemen interaktif malah menyahut cabaran kerajaan dalam usaha mempertingkatkan minat pelajar dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ia dapat meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi pelajar terutama bagi mereka yang datang daripada latar belakang yang kurang berkemampuan.
“Dengan memperkukuhkan asas dalam STEM, program ini memastikan pelajar dibekalkan dengan kemahiran kritikal yang diperlukan untuk bersaing dalam ekonomi masa depan yang kian dipacu oleh teknologi,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Mengulas lanjut, Bazilah berkata, inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan Pendidikan Teknikal dan Latihan dan Vokasional (TVET) Madani sebagai salah satu jalan meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi dalam kalangan pelajar terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, seramai 70 pelajar UniKL MIIT daripada program Ijazah Sarjana Muda Animasi Komputer dan Diploma Animasi serta 32 pelajar tahap 2 SK Jalan Gurney terlibat dalam program ini.
“Pelajar tahap dua dipilih kerana mereka sudah boleh memahami dan menentukan bidang yang mereka ingin ceburi ketika di sekolah menengah.
“Mereka akan belajar melukis bersama pelajar UniKL MIIT yang juga mereka bentuk dan melukis mural berdasarkan tema Co-existence dengan dua elemen utama iaitu angkasa lepas dan alam semula jadi untuk menunjukkan bagaimana robot boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.
Tambah beliau, projek AR Mural yang dihasilkan oleh UniKL MIIT bukan sahaja berjaya mencipta rekod baharu dalam Malaysian Book of Records tetapi turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam memperkenalkan teknologi terkini kepada generasi muda.
Menurutnya, kerjasama tersebut menonjolkan potensi STEM dalam memperkasakan pelajar melalui gabungan seni dan teknologi malah mural tersebut bukan sekadar karya seni, tetapi turut memperkayakan pengalaman pembelajaran dengan memperkenalkan teknologi AR secara interaktif.
“AR Mural ini menggabungkan teknik seni tradisional dengan teknologi ARterkini, menghasilkan karya interaktif yang mengagumkan dan ia juga menekankan kepentingan memupuk kreativiti terutama melalui inisiatif yang menggabungkan seni dan teknologi.
“Projek AR Mural ini memperkenalkan teknologi kepada pelajar terutama bagi mereka yang mungkin sudah menggunakan teknologi tetapi tidak tahu nama dan cara pembuatannya.
“Elemen interaktif seperti filter yang digunakan dalam aplikasi seperti Google Play Store dan Apple Store memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka cara teknologi berfungsi dalam kehidupan seharian,” katanya.
Selain itu, Bazilah berkata, pelajar didedahkan kepada kemahiran yang amat diperlukan dalam ekonomi masa depan yang dikuasai teknologi, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam mempersiapkan tenaga kerja mahir bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.
Tambahan pula, program tersebut berjaya membuka ruang kepada pelajar sekolah rendah untuk memahami bidang STEM lebih awal, membina minat serta menentukan laluan pendidikan mereka seawal usia muda. “Ia menonjolkan pentingnya pemindahan ilmu antara pelajar universiti dan sekolah dalam memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat, sekali gus menghubungkan seni tradisional dengan teknologi moden yang lebih dinamik dan berdaya saing. “ ujarnya. –UTUSAN