IPOH: Hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat oleh mereka yang disabitkan kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat mahu dilaksanakan pada tahun ini juga.
Hukuman itu termasuklah seperti kerja-kerja memotong rumput, mencuci longkang serta tandas selama 12 jam, dengan mereka yang menjalani hukuman tersebut perlu memakai uniform yang dikhaskan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, langkah itu penting bagi mengubah sikap masyarakat supaya Malaysia berada dalam keadaan yang bersih.
“Setelah hampir 40 tahun kita mempunyai Dasar Pandang Ke Timur, kini adalah masa yang tepat untuk memperkenalkan perundangan ini.
“Jangan buka tingkap kereta dan terus buang sampah. Ataupun sudah ada tong sampah, tetapi masih buang sampah ke dalam longkang. Kepada ‘ulat-ulat’ sampah seperti itu, tiada kompromi dalam soal kebersihan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Taman Rekreasi Madani Woodlands II Bandar Baru Tambun di sini hari ini.
KPKT bercadang untuk melaksanakan perintah tersebut melalui pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan menerusi usaha itu, mereka yang gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.
Kor Ming turut melihat perundangan itu penting memandangkan negara akan melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran jutaan pelancong asing.
Beliau berkata, langkah itu juga adalah satu reformasi penting yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan semasa persidangan Dewan Rakyat bermula 3 Februari lalu sehingga 6 Mac ini.
“Sebaik sahaja Dewan Rakyat dan Dewan Negara luluskan. Kita akan menggazet undang-undang ini dan dilaksanakan di seluruh negara. Dijangkakan tahun ini.
“Di Malaysia tiada lagi yang buta huruf. Semua orang pergi sekolah selama 12 tahun. Jangan kata tidak tahu hendak buang sampah dalam tong sampah,” katanya. – UTUSAN