'Umum keputusan rasmi selepas jumpa Ahmad Zahid' - Tengku Zafrul

‘Umum keputusan rasmi selepas jumpa Ahmad Zahid’ – Tengku Zafrul

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ditemui pada program Golf Amal KITA 2025 di Glenmarie Golf and Country Club di sini, hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Saya akan mengumumkan keputusan itu selepas berjumpa Ahmad Zahid nanti,”.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai ura-ura beliau bakal meninggalkan parti itu dalam tempoh terdekat.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, beliau akan menemui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkara tersebut.

“Walau apa jua keputusan yang dibuat nanti, saya akan berbincang dahulu dengan beliau.

“Apabila sudah bincang, baru saya akan memaklumkannya dan membuat pengumuman secara rasmi,” katanya ketika ditemui pada program Golf Amal KITA 2025 di Glenmarie Golf and Country Club di sini, hari ini.

Turut berkenan merasmikan program itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Baru-baru ini, wujud dakwaan Tengku Zafrul dijangka meninggalkan UMNO selepas tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut.

Perkara itu timbul selepas beliau dilaporkan media dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lalu.

Dalam perkara berasingan, kata Tengku Zafrul, beliau turut mengambil maklum mengenai cadangan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya berakhir pada Disember depan.

“Bagi saya, apa jua jawatan yang diberi pada sekarang atau masa depan, ia terpulang kepada kerajaan atau Perdana Menteri.

“Fokus saya kini hanya mahu meneruskan tugas di kementerian antaranya memfokuskan agenda Kepengerusian ASEAN dan pelbagai pelan industri atau nasional diumumkan kerajaan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN