ADA beberapa perkara yang membuatkan saya ingin menulis ulasan mengenai Bogota: City of the Lost (Bogota). Tapi alasan paling kuat adalah disebabkan klip tular berdurasi kurang seminit memaparkan pelakon utamanya, Song Joong-ki menangis kerana filem ini tidak terjual di panggung.
Jika anda mengikut rapat perkembangan industri seni Korea Selatan, Joong-ki adalah nama besar di mana hampir tidak ada naskhah lakonannya yang gagal dijual.
Ketika Bogota ditayangkan pertama kali pada Disember, memang panggung di Korea Selatan mengalami penurunan mendadak kerana beberapa faktor seperti skandal presiden Yoon Suk Yeol yang menjadikan keadaan sekejap kucar-kacir.
Memandangkan filem ini tidak ditayangkan di Malaysia, pendapat tidak popular saya pula adalah beranggapan penonton lebih cenderung menonton Squid Game 2 yang ditayangkan pada bulan sama menyebabkan ramai penerbit menangguhkan jadual penayangan filem mereka.
Kini Bogota ditayangkan di Netflix dan ulasan ini ditulis tiga jam selepas ia dimuat naik. Sebelum menggali lebih dalam, saya ingin kongsikan situasi di Korea Selatan ketika krisis ekonomi pada 1997.
Memandang nilai won jatuh mendadak, Korea tiada pilihan selain menerima pinjaman kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah USD 58 bilion dengan syarat yang ketat menyebabkan kenaikan cukai, pengurangan gaji, kilang gulung tikar, pengangguran, protes sana sini dan orang bunuh diri.
Dengan keadaan sangat genting itu entah kenapalah Guk-hee memiliki bapa yang kurang cerdik membawa keluarga mereka berpindah ke Bogota, Colombia yang memang memiliki kadar jenayah sangat tinggi pada ketika itu dari bunuh, rompak, pukul, tembak, tokan dadah dan lain-lain.
Tidak semua orang mampu melakukan imigrasi, jadi kita faham bahawa Guk-hee (Joong-ki) dan bapanya itu asalnya orang senang di Korea Selatan. Tapi kerana mereka tidak mengenal Colombia, duitnya dirompak ketika menaiki teksi membuatkan mereka merempat di Zon 1 iaitu penempatan paling miskin di Bogota.
Maaf, tidak sampai
Saya melihat usaha pengarahnya, Kim Seong-je menggambarkan dengan teliti imigran Korea di Colombia di mana memang kebanyakan mereka menjadi perniaga. Saya fikir, filem ini mahu menceritakan tentang social hierarchy bagaimana Guk-hee mahu berjuang dari Zon 1 ke Zon 6 (kawasan elit). Juga imigran yang dianggap lipas boleh berjuang hidup dan dianggap penting.
Mungkin ya dan tidak, saya juga keliru kerana filem ini tidak pula meletakkan hal sentimental perjuangan itu dalam ceritanya. Atau mereka gagal membuat saya menyedari matlamat itu. Terus terang dikatakan, awal filem ini okay sahaja tapi konkrit naskhah ini runtuh satu per satu menuju penghabisan.
Saya mungkin berdosa mengatakan ini, tapi selain daripada tone warna keperangan mengikuti style filem Hollywood, Bogota seperti dihasilkan oleh orang yang tidak menjiwai tempat itu. Segala unsur Mexico seperti ditampal-tampal, cuba menutup cela namun tetap ia naskhah yang membosankan.
Pelakon sehebat Joong-ki dan Kwon Hae-hyo pun tidak mampu menyelamatkan naskhah yang sebenarnya belum sedia menemui penonton. Saya berpendapat, jika filem ini ditayangkan dalam keadaan tanpa skandal presiden atau Squid Game. Ia tetap tidak akan mendapat sambutan.