PETALING JAYA: Bagi membuat penonton yakin dengan karakter yang dibawa, pelakon, Jay Iswazir, menurunkan berat badan sehingga lapan kilogram dalam tempoh dua bulan.
Jelas Jay atau Ahmad Iswazir, 43, sekiranya tampil berisi, sukar untuk penonton memberi fokus kepada cerita lebih-lebih lagi layar lebar membuatkan seseorang pelakon kelihatan lebih besar daripada kebiasaan.
“Kalau saya bulat, di situpun saya sudah gagal meyakinkan orang ramai dengan karakter dibawa. Nanti orang tidak fokus.
“Sekarang saya terlibat dalam projek seorang lelaki pekak dan bisu yang duduk di ladang kelapa sawit. Saya rasa tidak logik kalau dia berbadan bulat.
“Lagipula sekarang kita kena ikut aliran zaman yang lebih sukakan imej ‘clean’ dan ada nilai estetika di kaca televisyen,” katanya.
Jay ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Strike: Silat Cult Master, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pendekatan yang diambil untuk kurus, Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 itu mengehadkan pengambilan nasi setiap hari.
“Setakat ini saya belum masuk gim lagi dan tiada kaedah yang ekstream.
“Cuma saya kurangkan pengambulan nasi iaitu sehari sekali sahaja. Air manis memang saya potong habis sebaliknya amalkan air masak dan lemon.
“Paling penting saya kena beritahu diri untuk buat semua ini dalam keadaan gembira.
“Jika tidak gembira, usaha ini tidak akan dicapai,”
Dalam perkembangan lain, Jay membintangi sebuah filem Strike: Silat Cult Master mengisahkan seorang lelaki yang ingin membalas dendam kematian ibunya.
Turut sama membintangi filem itu ialah Trisha Ooi,Ayez Shaukat, Aiman Ameer dan Fify Azmi. -UTUSAN