PETALING JAYA: Polis sedang mengesan suspek yang disyaki menumbuk dan mengugut pengawal keselamatan berikutan cintanya ditolak dalam kejadian di sebuah apartment di Bandar Puteri Puchong dekat sini, kelmarin.
Ini susulan satu video tular dalam media sosial memaparkan kejadian membabitkan seorang pengawal keselamatan wanita dipukul oleh suspek lelaki di pondok pengawal di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan polis pada pukul 1.30 petang semalam dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun berkenan kejadian terbabit.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah malam semasa pengadu sedang bekerja sebelum didatangi individu dikenali yang meluahkan perasaan cinta.
“Bagaimanapun ia ditolak pengadu kerana dalam proses perceraian menyebabkan individu itu marah dan bertindak mencederakan pengadu di leher menggunakan pisau lipat, namun sempat ditepis wanita terbabit,” katanya.
Menurutnya, pada pukul 3.30 pagi hari sama, suspek datang semula dan menumbuk kepala dan mencekik leher mangsa, namun dileraikan rakan sekerja mangsa.
Jelasnya, individu terbabit turut mengugut mahu membunuh pengadu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Kita sedang mengesan suspek untuk tindakan tangkapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan. – UTUSAN