Tular dakwaan zakat fitrah naik, MAIPk umum minggu depan

Tular dakwaan zakat fitrah naik, MAIPk umum minggu depan

MOHD. Annuar Zaini ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Smart TV di Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membuat pengumuman mengenai kadar zakat fitrah tahun ini selepas mesyuarat minggu depan.

Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini yang mengulas menganai hantaran tular dalam media sosial kononnya kadar zakat fitrah negeri ini tahun ini naik berkata, perkara berkaitan kadar zakat fitrah perlu disembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu.

“Kita akan bawa ke mesyuarat MAIPk, akan sembah bagi perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan dahulu.

“Buat masa ini tidak ada keputusan rasmi berhubung kadar kenaikan zakat fitrah. Ia akan ditentukan pada mesyuarat MAIPk 27 Februari ini untuk keputusan rasmi.

“Jadi jawapan (berhubung kenaikan kadar zakat fitrah) akan diberikan pada 27 Februari nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Smart TV di Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram di sini hari ini.

Terdahulu tular hantaran dalam media sosial risalah berkaitan kadar zakat fitrah negeri ini tahun ini RM10 berbanding RM8 tahun lalu.

Sementara itu, mengenai kes khatib beberapa buah masjid di negeri ini tidak membacakan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd. Annuar berkata, Sultan Nazrin terkejut dengan perkara tersebut.

Menurutnya, apabila perkara itu disembah maklumkan kepada baginda, Sultan Nazrin menitahkan supaya siasatan dilakukan.

“Saya menunggu hasil siasatan yang dijalankan JAIPk untuk diangkat sembah kepada baginda. Kita angkat sembah hasil siasatan kerana hak melantik imam dan guru agama mengajar,  tauliahnya adalah hak baginda,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Annuar berkata, jika prinsip khatib tidak mahu membaca khutbah Jumaat pada hari tersebut kerana bertentangan dengan fahaman politik, khutbah boleh dibacakan orang lain.

“Namun tidak membaca khutbah yang disediakan, ini betul-betul ingkar,” katanya.

Mohd. Annuar berkata, teks khutbah bertajuk ‘Keburukan Fitnah’ yang dibaca pada 31 Januari lalu tidak bermotifkan politik kerana teks khutbah disediakan lebih awal.

“Kebetulan dalam minggu itu tajuknya tentang fitnah dan mungkin ada orang tertentu yang telah melakukan fitnah dalam ucapan politik dan sebagainya, ibarat  ‘siapa makan cili, dia terasa pedas, seolah-olah khutbah ini ditujukan untuk dia.

“Bagi saya, dari segi elemen profesional dan integriti sebagai seorang imam yang ditauliahkan oleh sultan sudah tidak ada,” katanya.

Empat imam di negeri ini digantung tugas pada 6 Februari lalu kerana tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk.

Keempat-empat imam itu dilaporkan membaca khutbah Jumaat sama ada dari Kedah atau Pulau Pinang atau teks khutbah tahun lepas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN