KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menukarkan kaedah pemberian subsidi minyak masak paket kepada pemindahan tunai menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (Sara).
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, cadangan mekanisme itu lebih berupaya menyelesaikan isu ketidakcukupan bekalan yang membelenggu golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan perlu mengkaji semula kaedah pemberian subsidi minyak masak dan menggantikannya dengan bantuan tunai bersasar kerana lebih cekap danmenjimatkan.
“Masalah kekurangan stok di pasar raya dan kedai runcit menyukarkan mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan minyak masak subsidi,” katanya di sidang Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.5 bilion bagi subsidi minyak masak paket sejak 2023, dengan harga jualan ditetapkan pada RM2.50 setiap pek satu kilogram.
Bagaimanapun, bekalan sering habis di pasaran, menjejaskan usaha membantu golongan yang memerlukan.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 60 peratus daripada kuota 60,000 tan minyak masak bersubsidi setiap bulan digunakan oleh peniaga mikro.
Akhir tahun lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan tiada cadangan untuk memansuhkan subsidi minyak masak paket yang telah dibentangkan ke Kabinet. – UTUSAN