Tukang masak 'part time' sindiket along didenda RM3,500

Tukang masak ‘part time’ sindiket along didenda RM3,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah terhadap dua kenderaan milik seorang lelaki, dua minggu lalu.

Tertuduh, Rianovent Teo Chin Xi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyimbah cat merah ke atas dua buah kenderaan jenis Proton dan Kia sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM500 kepada mangsa di sebuah kediaman di Jalan Camar 8, Taman Perling di sini pada pukul 2 petang, 26 Januari lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh diwakili peguam bela Kenji Soh.

Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat serupa terhadap dua kediaman sehingga menyebabkan pemilik mengalami kerugian, masing-masing sebanyak RM57 dan RM60.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap rumah kediaman di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda pada pukul 6 pagi, 10 Januari lalu serta di Taman Johor Jaya ada pukul 8 pagi, 25 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina menawarkan jaminan RM8,000, namun Kenji Soh memberitahu bahawa anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain menanggung isteri serta anaknya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya