MELAKA: Melaka akan menjadi tuan rumah kepada tujuh kejohanan tenis junior peringkat antarabangsa dan kebangsaan bermula April hingga November tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk VP. Shanmugam berkata, sebanyak 15 buah negara membariskan pemain menduduki ranking terbaik Persekutuan Tenis Antabangsa (ITF) akan mengambil bahagian pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM70,000.
Katanya, antara kejohanan tersebut adalah Kejohanan Tenis ATF bawah 14 tahun dari 28 April hingga 5 Mei, Kejohanan Tenis ATF Bawah 16 tahun Series 1 (23 hingga 28 Jun) dan Kejohanan Tenis ATF Bawah 16 tahun Series 2 (30 Jun hingga 5 Julai).
“Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Indonesia, India, Hong Kong, Macau, Filipina, Vietnam, Korea, Great Britain, Arab Saudi, Sri Lanka, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Kejohanan Tenis Tempatan dan Antarabangsa di Hotel MITC di sini, hari ini.
Shanmugam berkata, kesemua kejohanan akan diadakan di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Ayer keroh.
Menurutnya, kejohanan yang dianjurkan itu secara tidak langsung dapat mempromosikan pelancongan sukan selaras dengan usaha kerajaan negeri melanjutkan Tahun Melawat Melaka (TMM) sehingga 2026.
“Kejohanan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) dijangka mampu mencungkil bakat-bakat baharu serta mewujudkan suasana kompetitif yang lebih tinggi, sekali gus menaikkan prestasi atlet tempatan,” jelasnya. – UTUSAN