PETALING JAYA: Pengarah filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975, Fazli Yasin, melakukan perubahan prototaip topeng harimau jadian sebanyak tujuh kali sebelum penggambaran.
Jelas Fazli, dia tidak mengambil inspirasi daripada naskhah Hollywood sebaliknya merujuk kepada lukisan dalam catatan sejarah Sungai Tembeling, Pahang oleh Hugh Clifford pada 1860.
“Saya melakukan semakan prototaip topeng harimau Kumbang tersebut sebanyak tujuh kali. Saya mencari topeng berwarna oren yang boleh memberi unsur seram.
“Sepanjang menghasilkan prototaip, ada ketikanya topeng harimau itu jadi terlalu comel ala-ala kucing. Ada ketikanya jadi seperti serigala. Selepas tujuh kali diubah, barulah kami berpuas hati.
“Inspirasi topeng tersebut memang daripada lukisan dalam catatan sejarah, bukannya daripada filem Hollywood,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di GSC Starling Mall, baru-baru ini.
Menggunakan kemahiran dan kepakarannya menghasilkan kesan visual khas untuk beberapa filem besar tempatan sebelum ini, Fazli turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan imej janaan komputer (CGI) untuk beberapa adegan dalam Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
“Kita perlu selari dengan peredaran masa. Bagi babak pembaca berita, memang saya ada menggunakan AI.
“Tetapi seluruh rekaan, saya hasilkan sendiri menggunakan CGI. Suara dan pergerakan pembaca berita sebenarnya dilakonkan oleh saya cuma menggunakan bantuan AI untuk selarikan pergerakan,” tambahnya lagi.
Bukan itu sahaja, pengarah sengaja memilih tahun 70-an sebagai konsep filem ini yang diaplikasikan menerusi pergerakan kamera, warna visual dan tulisan.
“Memang saya sengaja cipta pergerakan kamera agar mengikut konsep 70-an. Perkataan ‘sekian’ di akhir filem juga memang sengaja saya buat kerana itulah yang lazim disiarkan apabila sesuatu filem tamat pada era-70an.
“Lagipula saya mahu mengikut skrip kerana kejadian harimau jadian ini berlaku pada tahun 1975 di mana ketika itu empangan hydro elektrik di Kenyir baru dibina,” tambahnya.
Filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal menemui penonton di panggung bermula 6 Februari. Turut sama menjayakan filem ini ialah Kodi Rasheed, Amerul Afeendi, Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim dan Nor Albaniah. -UTUSAN